I made this widget at MyFlashFetish.com.

Powered By Blogger

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Laman Utama

Rabu, 4 Mei 2011

Gajah liar tepi jalanraya timur-barat, keunikan di Jeli Kelantan

Gajah liar - di tepi jalanraya timur-barat

Sekiranya anda melalui jalan raya timur-barat yang menghubungi Jeli dan Grik, mungkin anda sering mendengar cerita tentang gajah liar selalu melintas jalan ini. Ada yang berkumpulan, ada yang seekor, baik melintas atau duduk di tepi jalan ini sama ada waktu malam mau pun pada siang hari.

Semalam saya ke Kedah atas urusan perniagaan, ketika melalui laluan ini saya sempat merakam gajah di tepi jalan ini.

Sebenarnya, saya kerap kali bertemu dengan kumpulan gajah liar ini sepanjang mengguna laluan ini, zon gajah melintas ini bermula sekitar Batu 14 iaitu selepas kedai makan Kg Batu Melintang. Di sini kebiasaanya kaki pancing ke Tasik Pergau kerap kali bertemu.

Tempat paling rutin gajah ini lintas biasa selepas restoran Puncak Titiwangsa iaitu kawasan terowong tanah runtuh dan tempat yang dipacak signboard gambar gajah. Majoritinya di waktu malam.
Jadi sebolehnya berhati-hati di kawasan ini.

Jadi kepada pengguna yang belum biasa guna jalan ini sekiranya anda bertemu dengan kumpulan gajah liar antara langkah patut di ambil,
1. Jangan berhenti kenderaan dan turun untuk melihat gajah ini dengan lebih dekat. Kalau nak ambil gambar pun dari atas kereta kerana harus diingat ini gajah liar bukannya dalam zoo.
2. Beri laluan kepada kumpulan gajah ini untuk melintas jalan. Sekiranya pada waktu malam, matikan dulu lampu kereta ketika mereka ini melintas jalan.

3. Jangan sekali sekali hon kepada kumpulan gajah ini. Kerana mereka akan respon dengan agresif seperti kejar balik kereta anda.
Diharap tips-tips ringkas ini dapat membantu para pemandu.

Air Terjun Jeram Linang di Machang Kelantan


Air Terjun Jeram Linang di Machang Kelantan
Salah satu lokasi riadah yang menarik untuk dikunjungi di Kelantan ialah Air terjun Jeram Linang, Machang. Ia merupakan Air Terjun terawal dimajukan di Negeri Kelantan. Lokasinya terletak di dalam Hutan Simpan Ulu Sat, Machang.

Untuk pergi ke Air Terjun Jeram Linang anda boleh pergi dengan kenderaan sendiri dan juga kenderaan awam. Jarak dari bandar Pasir Puteh ialah 20 km, manakala 22 km dari bandar Machang, dan perlu melalui jalan lebuhraya Machang-Pasir Puteh.

Pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan di Air Terjun ini seperti Tandas Awam, Wakaf Rehat, Musalla, Restoran dan Tempat Letak Kereta. Pengunjung Air Terjun Jeram Linang ini boleh melakukan aktiviti Jungle Trekking dan mandi-manda di tempat ini. Kawasan perkhemahan juga disediakan.

Dengan persekitaran yang bersih dan nyaman, Jeram Linang merupakan lokasi yang boleh anda fikirkan apabila anda singgah di negeri yang juga dikenali dengan nama negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Bagi rakyat negeri ini, Air Terjun Jeram Linang merupakan antara destinasi yang dikunjungi untuk mengisi masa lapang di hujung minggu.

Gunung Reng Tarikan Pelancong

 
Sejarah
Mengikut sejarah Gunung Reng terjadi ekoran masyarakat kampung meraikan temasya besar-besaran selama 7 hari 7 malam. Pada kemuncak temasya tersebut penduduk meraikan dengan melagakan kucing dan anjing di atas bumbung rumah pada waktu zohor. Pada masa yang sama cuaca tiba-tiba bertukar menjadi gelap besertakan ribut dan hujan lebat.

Difahamkan, pada masa itu ada seorang nenek dan cucunya pulang untuk mengankat padi yang dijemur. Apabila kembali ke temasya tersebut beliau terkejut apabila melihat batu besar (gunung) telah menghempap tempat temasya tersebut.

Gunung ini juga menjadi tempat tinggal Puteri Saadong. Walaubagaimanapun puteri tersebut tidak tinggal lama di situ kerana tidak sukakan tabiat masyarakat kampung yang tidak pulangkan kembali peralatannya yang dipinjam.

Ekoran dari kekecewaan itu, puteri membawa diri ke Gua Ayam, Gua Musang. Untuk menguatkan lagi kenyataan di atas, gunung tersebut dikatakan berasal dari Ulu Sungai Reng, yang terletak diantara sempadan Kelantan dan Perak. Tapak asal gunung tersebut kini berbentuk kolam. Dari nama Sungai Reng itulah nama Gunung Reng tercipta. Pada dahulunya kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Tala.

Walaubagaimanapun keaslian kenyataan tersebut belum terungkai sepenuhnya. Gunung Reng menanti pengkaji yang dapat mengesahkan sebuah lagenda. Gua-gua  serta kesan peninggalan mungkin dapat menjadi bahan bukti bagi menguatkan lagi fakta kejadian gunung ini

 Lokasi/ Prasarana
Gunung Reng menjadi ikon kepada Jajahan Jeli. Gunung yang mempunyai lagenda serta keunikannya tersendiri ini tesergam indah di bahu jalan seolah-olah menjadi penyambut  tetamu untuk  Negeri Kelantan dan Daerah Jeli bagi mereka yang menggunakan Lebuh Raya Timur Barat.

Gunung yang dikaitkan dengan Puteri Saadong ini terletak di Kampung Gunong berhampiran Kampung Batu Melintang lebih kurang 15 kilometer dari Pekan Jeli. Keaslian dan keunikan ciptaan Allah ini menanti kunjungan tetamu yang ingin menikmati suasana serta mengkalji kesan peninggalan serta artifak yang terdapat di dalam gua tersebut.

Keindahan gunung ini bertambah menarik dengan inisiatif Majlis Daerah Jeli membina kemudahan asas seperti taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, gerai jualan serta masjid yang sudah sedia ada untuk kegunaan masyarakat setempat.

Sungai yang cetek, air yang bersih serta sejuk terdapat berhampiran dengan gunung sesuai untuk mandi- manda serta aktiviti perkhelahan seisi keluarga. Aktviti perkhemahan juga amat sesuai di tempat ini kerana mempunyai kawasan lapang dan kemudahan asas yang mencukupi.

Gambar : Masjid Kg. Gunong berlatar belakangkan Gunung Reng      Kecil : Pintu gua Gunung Reng

Pasar Besar Siti Khatijah yang Menarik dan Murah!!



Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walau bagaimanapun iainya telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga.

Pasar ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya.

Tingkat satu pula diperuntukan kepada makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlaut, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan.

Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini.Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan. Setiap pagi ia merupakan nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu. Yang paling menarik ialah sebahagian besar dari peniaga di pasar ini terdiri dari kaum wanita kelantan sesuai dengan namanya. Pasar Besar Siti Khadijah, nama asalnya Pasar Buluh Kubu.

Nama Siti Khadijah diambil bersempena nama isteri Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang peniaga wanita yang berjaya. Gabungan warna-warni, aroma dan suasana hingar-bingar mengambarkan kepelbagaian barangan yang diniagakan. Berbagai jenis barangan ada dijual diantaranya makanan, sayur-sayuran, ikan, ayam, pakaian, rempah-ratus, barangan kraftangan tembaga dan perak dan banyak lagi.

Pasar ini beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 petang. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jual beli setelah masuk waktu sembahyang selama 15 minit. Ini bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat.